Followers

Tuesday, June 21, 2011

Ustazah Pilihan ..AKAN DATANG DI OASIS



Setelah berjaya mendapat liputan meluas media tempatan dan antarabangsa serta perhatian dunia menerusi Imam Muda, Astro Oasis terus mengorak langkah dengan membawakan pula sebuah siri pencarian ikon muslimah berjudul Ustazah Pilihan. Program yang dijangka bakal mencetuskan fenomena terbaru dalam dunia penyiaran yang bertujuan mencari pelapis kepada pekdakwah muda wanita ini akan memulakan sesi ujibakat tidak lama lagi.

Ustazah Pilihan merupakan sebuah program realiti terbaru Astro Oasis yang memaparkan para muslimah yang akan dibentuk menjadi seorang Ikon Muslimah yang sejati. Ikon Muslimah yang dimaksudkan merangkumi segala aspek kehidupan seperti pendidik, pembimbing dan juga pemimpin masyarakat. Ustazah Pilihan akan memaparkan kepentingan memikul tanggungjawab sebagai seorang wanita Islam yang bukan sahaja berperanan sebagai seorang isteri atau ibu, malahan peranan sebagai pendidik, pembentuk dan pemimpin generasi akan datang yang mempunyai kebolehan berkomunikasi, pengucapan, pertuturan serta dayafikir yang cukup baik dan matang.

Idea menerbitkan Ustazah Pilihan ini tercetus rentetan daripada kejayaan program Imam Muda yang ditayangkan di saluran ini. Justeru itu, menjadi tanggungjawab kami untuk memberikan peluang yang setara kepada kaum wanita untuk mengembangkan bakat mereka dalam aktiviti dakwah dengan pendedahan yang lebih kontemporari. Pembaharuan dakwah yang bersesuaian dengan situasi semasa tetapi masih berpaksikan hukum syara’ semestinya menjadi suatu kelainan yang akan menarik perhatian oleh masyarakat.

Sudah menjadi budaya di Astro Oasis untuk sentiasa memberikan program-program yang terkini dan relevan kepada para penonton. Malah, sejak diperkenalkan pada Oktober 2007, Astro Oasis sentiasa menjadi pelopor kepada program-program berunsur keagamaan dan kerohanian seperti Imam Muda dan Khabar Haji yang disampaikan dengan gaya yang lebih santai dan dekat dengan jiwa penonton. Ini secara tidak langsung akan mendekatkan lagi masyarakat khususnya generasi muda mendekatkan diri mereka dengan program yang bermanfaat dan berguna sebagai santapan rohani.Menerusi konsep program Ustazah Pilihan ini, sebanyak 10 Muslimah akan dipilih menerusi siri pencarian di beberapa buah negeri. Mereka akan ditempatkan di ibukota untuk menjalani kursus melalui mata pelajaran yang telah ditentukan untuk memantapkan lagi pengetahuan dan ilmu mereka daripada aspek keagamaan yang turut merangkumi hal ehwal seperti teknologi, kewangan, kemasyarakatan dan kekeluargaan.

Mereka akan diberi tugasan tertentu selama lapan minggu berlandaskan format kitaran kehidupan. Format ini meliputi tugasan-tugasan yang akan mereka lalui berdasarkan isu – isu semasa yang dihadapi oleh wanita masa kini. Pendekatan yang akan digunakan adalah relevan dengan realiti wanita di zaman moden Setiap minggu, mereka akan dipecahkan kepada dua kumpulan dan akan dibimbing dan dipantau oleh para Mursyidah (mentor) yang akan menerima nasihat dan pantauan keseluruhan dari Mudirah (Pengetua).

Markah akan diberi kepada kumpulan dan juga individu dalam kumpulan mengikut hasil kerja berkumpulan yang bakal dilaksanakan setiap minggu. Kumpulan terbaik akan menerima ganjaran atau galakkan yang akan menambah motivasi mereka. Manakala, kumpulan yang satu lagi akan diberi tugasan tambahan yang juga juga mampu memberikan motivasi serta keyakinan untuk menjadi lebih baiklagi di tugasan akan datang.

Pihak Astro turut mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi perhargaan kepada pihak Bank Islam atas kesudian menjadi Penaja Utama untuk program Ustazah Pilihan. Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan sekali lagi bekerjasama untuk menjayakan program keislaman dan kerohanian terbaru ini. Kerjasama dan sokongan daripada pelbagai pihak amat bermakna dan menyuntik semangat untuk terus berusaha menerbitkan program-program seperti ini

Bagi mereka yang berminat untuk menjadi pelapis dan penyambung warisan serta memikul tanggungjawab sebenar sebagai seorang pendakwah dan menjadi ikon muslimah masakini, dijemput hadir ke sesi temuduga yang akan diadakan seperti berikut dari jam 8.00 pagi hingga 5 petang:

9 Julai 2011 - Swiss-Inn Sg. Petani, Kedah
15 Julai 2011 - Hotel Sumai Suite, Kuala Terengganu, Terengganu
23 Julai 2011 - Hotel Puteri Pacific, Johor Bahru, Johor
30 & 31 Julai 2011 - Kompleks Pusat Islam, Kuala Lumpur

Sesi ujian dan temubual ini terbuka kepada semua wanita warganegara Malaysia yang beragama Islam berusia di antara 18 hingga 27 tahun serta sihat tubuh badan. Mereka yang berminat hanya perlu membawa salinan kad pengenalan berserta dua keping gambar 4R. Kelayakan minimum sekurang-kurangnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di samping mempunyai pengetahuan agama Islam dan hal ehwal semasa yang baik serta menutup aurat.

Siri pencarian USTAZAH PILIHAN ini bakal bersiaran di saluran rasmi; Astro OASIS (saluran 106) bermula 1 Oktober 2011. Butir-butir lanjut mengenai program-program akan diumum pada sidang media akan datang.

No comments:

Post a Comment


mY home Town

mY home Town

serangkai dengannya~~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Search This Blog